Firman Allah s.w.t. :
“ Hai orang-orang beriman ,
apabila diesrukan kamu mendirikan sembahyang Jumaat , maka hendaklah kamu
berjalan pergi kepada mengingati Allah dan hendaklah kamu meninggalkan
perniagaan kamu . Yang demikian itu baik buat kamu jika kamu mengetahui .”
(Surah
Al-Jumaat:9)
Tariq bin Sihab memberitakan : Bahawa telah bersabda
Rasulullah s.a.w. , “Jumaat itu hak yang wajib atas tiap-tiap orang Islam dalam
berjemaah , kecuali empat orang iaitu budak yang dimiliki (hamba) , wanita ,
anak kecil dan orang yang sakit .”
(Riwayat
Abu Daud)
Kata Abu Daud , Tariq bin Sihab
ada melihat Nabi s.a.w. tetapi tidak mendengar apa-apa . Menurut pendapat Al-Khatabi
, sanad hadith ini tidak kuat kerana Tariq tidak sah mendengar apa-apa dari
Nabi s.a.w. Maksud hadith ini ialah Jumaat itu tidak diwajibkan atas budak
(hamba),wanita , anak kecil dan orang sakit .
Kata An-Nawawi : Menurut pendapat
ulama Syafieyah , bahawa orang yang tidak lazimkan Dzohor tidak lazimkan Jumaat
; barangsiapa dilazimkan Dzohor , maka dilazimkan Dzohor maka dilazimkan Jumaat
, kecuali orang-orang diberikan uzur , iaitu orang musafir , hamba dan orang
sakit . Mengenai wanita , para ulama muafakat menentukan bahawa wanita tidak
diberatkan Jumaat , tetapi jika mereka hadir dan mengerjakan sembahyang Jumaat
dibolehkan , iaitu tidak diberatkan lagi mengerjakan sembahyang Dzohor .
Mengenai wanita , seluruh ulama
menetapkan tiada wajib . Dalam pada itu jika mereka hadir ke masjid dan
mengerjakan Jumaat , tiadalah diberatkan lagi mengerjakan sembahyang Dzohor .
Demikian menurut pendapat Ibnu Munzir .
Mengenai hadith Tariq , Jumaat
tidak wajib bagi empat orang , harus difahamkan maksud hadith ini ialah tiada
wajib menghadiri ‘Jamaah Jumaat’ bagi budak (hamba,melayan tuannya) , anak
kecil (belum cukup umur) , orang sakit (kesukaran menghadirinya) dan wanita
(membuat urusan rumah-tangga) .
Suatu hadith yang tegas yang
menyatakan bahawa yang diwajibkan atas budak (hamba) , wanita , orang sakit ,
pada hari Jumaat mengerjakan Dzohor tidak diperoleh sama-sekali .
PENDAPAT PARA FUQAHA
Kata An-Nawawi , mazhab kami
tidak mewajibkan Jumaat atas orang musafir . Kata An-Nasai , jika kedengaran azan oleh para musafir
wajib juga mereka menghadirinya .
Kata ulama Syafieyah : Disukai para musafir
menghadiri persidangan Jumaat , untuk melepaskan diri dari perselisihan faham .
Kata sahabat-sahabatnya , disukai demikian bagi anak-anak dan para khunsa
(pondan).
Jamhur ulama berkata : Tidak ada
Jumaat atas para budak dan setengahnya pula menyatakan wajib atas hamba ,
kecuali jika dilarang oleh tuannya pergi ke masjid . Kata Qatadah dan Auzai
wajib Jumaat atas budak yang membayar upah kepada tuannya .
Kata An-Nawawi pula : Tidak wajib
Jumaat atas mereka yang bermukim dan tidak dapat mendengar seruan azan ke tempatnya
. Seterusnya beliau berkata , segala uzur yang menggugurkan Jumaat , iaitu
tugas pergi Jumaat , menggugurkan pula tugas pergi ke jamaah Jumaat .
Kata Ibnu Hazam : Bersamaan urusan wajib
mendirikan Jumaat dengan berjemaah , walaupun hanya dua orang ; antara dua
orang musafir , para mukim , para hukuman yang dipenjara ; dan boleh dikerjakan
di desa-desa kecil atau besar baik ada disitu kepala Negara ataupun tidak . Dan
boleh dikerjakan Jumaat dalam dua masjid di satu desa .
KATA MUKTAMAD
Setelah kita periksa dalam
masalah ini intisarinya ada tiga rupa pendapat :
1)
Jumaat itu fardhu dengan syarat sahnya dengan
berjamaah , di desa atau di kota . Berkenaan Jamaah Jumaat di kota , para
fuqaha mensyaratkan dihadiri oleh ketua negara atau dengan keizinannya dan
dengan bilangan yang tertentu iaitu 40 orang seperti pendapat ‘Jadid Asy-Syafie’.
2)
Jumaat itu difardhukan dan disyaratkan sahnya
dengan berjamaah , walaupun dua orang dan boleh di mana sahaja dikerjakan ,
tidak perlu di kampung atau di mana-mana ; dirumah beserta isteri atau
kawan-kawan . Tentang khutbah jika disukai dikerjakan , jika tidak ditinggalkan
sahaja.
3)
Jumaat
itu difardhukan atas tiap-tiap mukallaf . Jamaah bukanlah syarat sahnya , hanya
kewajipan menghadiri jamaah yang didirikan di bawah pimpinan (qadhi) oleh kaum
lelaki mukim (menetap) dan tiada jauh dari masjid .
Jika kita perhatikan hadith yang
dikemukakan oleh golongan yang tidak mewajibkan Jumaat atas
kaum wanita , budak , musafir , orang sakit dan orang dalam
ketakutan (dalam masa genting) , dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawa yang
tidak diwajibkan itu bukan sembahyang Jumaat , hanya menghadiri persidangan
jamaah Jumaat , yang didirikan di masjid Jamek .
Sekiranya tidak diwajibkan atas
wanita , musafir , orang sakit dan budak bersembahyang Jumaat , bukan
menghadirinya , tentulah mereka tidak diperkenankan mengerjakan sembahyang
Jumaat dan meninggalkan Dzohor sekali . Padahal semua ulama menetapkan bahawa
jika orang-orang yang tersebut itu mengerjakan Jumaat tidaklah lagi mereka
dituntut supaya mengerjakan Dzohor . Oleh kerana yang demikian keyakinan kita
dari titik-titik yang terakhir ialah :
i ) Bahawa Jumaat diwajibkan atas
setiap mukallaf .
ii ) Bahawa menghadiri jamaah ke
masjid Jamek atas para empat macam orang itu tidak diwajibkan .
No comments:
Post a Comment