Wednesday, 28 May 2014

HUKUM MULAI SOLAT DENGAN TAKBIR


         Ali bin Abi Thalib memberitakan : Bahawa telah bersabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya) ,

"Anak kunci solat itu suci , pentahrimnya takbir dan pentahlilnya taslim. "
                                               ( Riwayat Ahmad , Abu Daud , Termidzi , Syafie dan Ibnu Majah )



                Hadith ini menyatakan bahawa suci itu ialah suci daripada hadas , sebagai syarat bagi sah solat . Takbiratul-ikhram , permulaan solat mesti dibuka dengan takbir , " Allahu-Akbar " ( Allah itu Maha Besar ) dan penutupnya dengan salam . Jelas dan tegas hadith ini menyatakan bahawa solat tiada boleh dibuka dengan lain-lain bacaan .



PENDAPAT PARA FUQAHA


                   Kata Al-Hafidz Ibnu Hajar di dalam 'Fathul-Bari' (di dalam bab mewajibkan takbir ketika memulai solat) : Imam Bukhari mewajibkan takbir di kala solat kerana mengingati Hadith yang di sampaikan oleh Aisyah r.a. , " Adalah Nabi s.a.w. mulai solat dengan takbir. " juga Hadith yang disampaikan oleh Ibnu Umar iaitu : " Aku melihat Nabi s.a.w. memulai solat dengan takbir. " Banyak hujjah-hujjah jamhur ulama yang menegaskan ketiadaan boleh kita mulai solat selain dengan takbir , " Allahu-Akbar " .

                     Takbir itu menurut pendapat yang banyak ialah hukum atau sendi solat . Menurut pendapat ulama-ulama Hanafiyah ialah merupakan satu syarat . Syafie , Ahmad dan Malik berpendapat bahawa tidak sah solat dengan ketiadaan takbir . Belum dipandang masuk ke dalam solat jika belum bertakbir . Dan takbir itu wajib dengan ucapan " Allahu-Akbar " , tiada boleh dengan lainnya .



KATA MUKTAMAD


                        Terang dan jelas Hadith yang diterangkan itu , iaitu dimulai solat dengan ucapan " Allahu-Akbar " . Perlu diketahui bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh kita membaca apa yang beliau baca , sebagaimana yang disabdakan : " Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang. "

         Allah telah berfirman (maksudnya) :

            " Dan apa-apa yang dibawa oleh Rasul maka hendaklah kamu mengambilnya dan yang mana ditegah kepada kamu maka hendaklah kamu jauhinya. "
                                                                                                      ( Surah Al-Hasyir : 7 )



                            Nabi s.a.w. tidak pernah membaca 'nawaitu usalli' atau 'usalli fardhu ..... ' Yakni Nabi s.a.w. tiada membaca lafadz niat dan Nabi tiada menyuruh para sahabat membacanya . Lantaran demikian kita berhak minta kepada mereka yang mendakwakan yang Nabi s.a.w. ada membaca atau puterinya ada membaca 'usalli' . Dari manakah berita itu datang ? Selama mana mereka tiada membawa dalil-dalil yang terang maka tetaplah kita katakan itu dusta .




No comments:

Post a Comment