Sunday, 11 May 2014

HUKUM MENDIRIKAN SOLAT

Solat di dalam Al-Quran :

i ) "Iaitu orang-orang yang percaya kepada yang ghaib (Allah) dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka , mereka belanjakan." (Surah Al-Baqarah : 3)

ii ) "Dan dirikanlah olehmu akan solat dan keluarkanlah olehmu akan zakat dan rukuklah kamu bersama orang-orang yang rukuk." (Surah Al-Baqarah : 43)

iii ) "Dan mintalah pertolongan olehmu dengan sabar dan dengan solat , kerana sesungguhnya solat itu memang berat melainkan atas orang-orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah : 45)

iv ) "Dan dirikanlah olehmu akan solat sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang jahat dan mungkar . Dan sesungguhnya mengingati Allah itu lebih besar gunanya dan Allah itu mengetahui apa-apa yang kamu perbuat." (Surah Al-Ankabut : 45 )



ERTI SOLAT

        Dalam kitab kamus arab antara lain diterangkan bahawa kata-kata 'As-shalat' itu menurut bahasa ertinya doa , rahmat istighfar (meminta ampun) dan puji sanjung dari hadrat Allah atas Rasul Muhammad s.a.w. dan nama suatu ibadah yang di dalamnya ada rukuk dan sujud . Kata-kata solat sudah dipakai orang-orang jahiliyah sebelum datangnya Islam dengan erti kata doa , memohon . Kata solat itu diterjemah dan disalin dengan kata sembahyang sebagaimana yang biasa disebut . Kata sembahyang itu pula dari bahasa Sanskrit yang bermaksud , menyembah dewa .

         Kata solat itu diterjemah sepanjang istilah agama yang terkenal di sisi para ulama Ahli Fiqih ialah : Beberapa perkataan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan bacaan takbir dan disudahi dengan bacaan salam .

          Kata An-Nawawi : Menurut para ulama , solat itu bagi Allah bererti , rahmat dan bagi malaikat bererti , istighfar dan bagi manusia bererti , merendahkan diri dan bermohon .



PERINTAH SOLAT KEPADA UMAT ISLAM


Abdullah bin Umar memberitakan : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya) :- "Didasarkan Islam itu atas lima sendi : Mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah , mendirikan solat , mengeluarkan zakat , haji ke Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadhan. " (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Anas bin Malik memberitakan : Telah difardhukan atas Nabi s.a.w. di malam beliau di 'Isra'kan , 50 solat . Kemudian dikurangkan hingga 5 waktu , kemudian diserukan kepadanya oleh Allah : "Hai Muhammad tidak dapat ditukarkan perkataan pada sisiKu dan sesungguhnya bagi engkau dengan 5 waktu ini , pahalanya sama 50 waktu." (Riwayat Ahmad , An-Nasai dan Tarmidzi)



         Hadis pertama menyatakan bahawa agama Islam itu terdiri di atas 5 sendi . Tiada terdiri Iman jika solat tidak di dirikan , yang merupakan salah satu sendinya .

         Hadis kedua menyatakan bahawa , solat yang difardhukan atas tiap-tiap orang Islam yang wajib dilakukan setiap hari ialah solat 5 waktu dan difardhukanNya pada malam Isra' .







HUKUM MENINGGALKAN SOLAT


"Maka jika mereka itu telah bertaubat dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat , maka biarkanlah olehmu jalan mereka kerana sesungguhnya Allah itu amat pengampun lagi penyayang. " (Surah Taubah : 5)


"Maka jika mereka itu telah bertaubat dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat , maka mereka itulah saudara kamu di dalam agama , dan Kami menerangkan ayat Kami kepada orang-orang yang mahu mengetahui. " (Surah Taubah : 11)


Ubaidah bin Shamit memberitakan : Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya) , "Lima solat yang difardhukan Allah atas hambaNya , barangsiapa mengerjakannya dengan sempurna tidak mensia-siakan sesuatu daripadanya atas dasar meringan-ringankan hak solat itu , adalah baginya jaminan Allah akan dimasukkan ke dalam syurga . Sebaliknya barangsiapa tidak mengerjakannya , tidak ada baginya jaminan atau perjanjian daripada Allah , hanya jika Tuhan kehendakinya , Tuhan mengazabkannya dan jika Tuhan kehendaki , Tuhan ampunkan baginya." (Riwayat Ahmad , Abu Daud dan An-Nasai)


Jabir memberitakan : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya) , "Di antara seorang hamba dengan kafir ialah meninggalkan solat. " (Riwayat Ahmad dan Muslim)



          Hadis pertama menyatakan bahawa , orang yang meninggalkan solat tiada kafir dan tiada berhak kekal di dalam neraka .

          Hadis kedua menyatakan bahawa , meninggalkan solat mewajibkan kafir .





PENDAPAT PARA FUQAHA


           Tiada perselisihan faham di antara para ulama Islam tentang mengkafirkan orang yang meninggalkan solat dengan mengingkari ke-fardhuannya , kecuali jika orang itu baru sahaja memeluk agama Islam , dan mengenai orang yang meninggalkan solat kerana malasnya , tetapi tetap mengakui ke-fardhuaannya , maka para ulama berlainan pendapat dan faham . Ada yang menghukumkan kafir dan ada yang menghukumkan fasik .


       1) Golongan yang mengkafirkan orang yang meninggalkan solat yang 'maktubah' (lima waktu) . Sebagaimana kata Ibnu Abi Syaibah : Telah bersabda Nabi s.a.w. (maksudnya) , "Barangsiapa meninggalkan solat kafirlah dia. " Dan diantara para imam-imam mazhab yang berpendapat demikian ialah Imam Ahmad bin Hanbal (Hanbali)

        2) Golongan yang tidak mengkafirkan orang yang meninggalkan solat ialah golongan Syafie dan Malik , asal tetap mereka mengaku kefardhuan solat , tidak dihukum kafir , walaupun mereka menghukumkan bunuh jika tidak mahu bertaubat .


             Kata Abu Hanifah dan golongan ulama Kufah , orang yang meninggalkan solat tidak dikafirkan , hanya dihukum durhaka sahaja yakni fasik .






KATA MUKTAMAD

               Berbagai rupa dan dalil tentang kekufuran meninggalkan solat . masing-masing mempunyai dalil-dalil . Ringkasnya , dapat diambil kesimpulan dan dapat kita fahamkan dari huraian-huraian ulama di dalam soal ini , bahawa seorang yang meninggalkan solat satu/dua waktu , tidak dihukumkan kafir yang terkeluar dari agama , tetapi apabila terus-menerus tiada solat maka itulah tanda tiada bersendi di dalam jiwanya dan itulah tanda bahawa akuan-akuannya tidak benar dan palsu belaka . Maka itulah yang menyebabkabkan ia kekal di dalam neraka , kecuali ia bertaubat kepada Allah . Sebagaimana diterangkan Tuhan di dalam ayat-ayat yang di atas tadi . Bererti dia insaf dan sedar , akan memperbaharui tekad dan azamnya untuk berbakti kepada Allah s.w.t.











No comments:

Post a Comment