Sunat
bagi kita yang menghadiri sembahyang Jumaat atau majlis pertemuan sama ada
lelaki atau perempuan , besar atau kecil mukim atau musafir hendaklah
sebaik-baik keadaan dengan kebersihan .
Allah
s.w.t. berfirman :
“ Hai
anak Adam , ambillah (pakailah) perhiasan kamu ketika hendak sembahyang ke
masjid .”
(Surah
A’raf: 31)
Abu Said
memberitakan : Bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda , “Lazim atas tiap-tiap Muslim
mandi pada hari Jumaat dan memakai pakaian yang baik dan jika mempunyai
bau-bauan , ia memakai sedikit darinya .”
(Riwayat
Ahmad ,Bukhari dan Muslim)
Salman
Farisi memberitakan : Bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda , “ Tiada mandi seseorang pada hari Jumaat dan
bersuci apa yang ia sanggup dari bersuci dan ia meminyak rambutnya atau memakai
bau-bauan yang ada dirumahnya , kemudian ia pergi ke masjid dan ia tidak
menceraikan antara dua orang duduk (iaitu tidak berjalan di antara celah-celah
orang yang duduk). Kemudian dia bersembahyang beberapa yang ditetapkan baginya
. Kemudian mendengar dan memperhatikan khutbah imam di kala imam berkhutbah ;
melainkan Allah mengampunkan dosanya dari Jumaat ke Jumaat yang lain .”
(Riwayat
Ahmad dan Bukhari)
Hadith
pertama menyatakan , kewajipan mandi pada hari Jumaat memakai pakaian yang baik
serta bau-bauan . Hadith kedua menyatakan , keutamaan kita mandi pada hari
Jumaat , meminyak rambut atau berdandan dan memakai bau-bauan . (jika tidak ada
kepunyaan sendiri , boleh memakai kepunyaan isteri) Juga menyatakan tidak boleh
kita melangkah tempat duduk orang dalam masjid , serta disukai sembahyang ‘Tahyatul
Masjid’ , lalu mendengar imam berkhutbah , nescaya Allah memberi pahala
kepadanya .
PENDAPAT PARA FUQAHA
Kata
An-Nawawi : Disukai bagi tiap-tiap orang yang mahu hadir ke Jumaat supaya
berdandan dengan sebaik-baiknya . An-Nawawi berkata , ulama-ulama Syafieyah
berpendapat bahawa disukai selain mandi , mengerat kuku , mencukur bulu-bulu
roma dan berwangi , meminyak rambut , bersugi dan memakai pakaian yang baik .
Yang utama berwarna putih . Hal ini lebih disukai lagi untuk para imam . Seterusnya
segala yang tersebut ini tidak saja khusus bagi menghadiri Jumaat , bahkan
disukai untuk sesuatu majlis . Sebagaimana yang telah dinaskan oleh Asy-Syafie dan
para sahabat dan lain-lain .
Dalam
pada itu , wanita tidak disukai memakai bau-bauan dan pakaian yang indah ,
mereka disukai menghilangkan bau busuk . Jamhur ulama di antaranya Abu Hanifah
, Asy-Syafie dan Ahmad berpendapat bahawa mandi hari jumaat sunat , bukan diwajibkan
.
KATA MUKTAMAD
Mengenai
soal ini banyak hadith-hadith yang diriwayatkan dari Nabi s.a.w. walaupun
berlainan , ada yang sahih , yang hassan dan ada yang dhaif ; namun
kesimpulannya sangat disukai supaya seseorang yang pergi ke masjid itu mandi ,
memakai bau-bauan , memakai pakaian yang bersih , mengerat kuku , dan berdandan
sebaiknya , adalah sunat hukumnya . Yang sesuai dengan ajaran Islam dan bukan
sebagaimana yang kebiasaannya dilakukan oleh kebanyakkan umat Islam . Iaitu
pergi ke masjid dengan pakaian yang lebih rendah nilainya dan keindahannya dari
pakaian yang dipakai untuk menghadiri sesuatu pertemuaan keduniaan .
No comments:
Post a Comment